
Presiden baharu Myanmar,Min Aung Hlaing/AFP
NAYPYIDAW,10 April – Ketua junta Myanmar,Min Aung Hlaing,hari ini (Jumaat) mengangkat sumpah sebagai Presiden,sekali gus mengekalkan penguasaannya menerusi jawatan awam selepas lima tahun merampas kuasa melalui rampasan kuasa tentera.
RINGKASAN BERITA AI
−
“Myanmar kini telah kembali ke landasan demokrasi dan sedang menuju ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya dalam ucapan sulung selepas membaca ikrar jawatan bagi tempoh penggal lima tahun dalam satu upacara di parlimen,di sini.
Beliau turut meletak jawatan sebagai jeneral tertinggi tentera untuk menerajui kerajaan baharu itu menjelang sambutan perayaan Thingyan (Tahun Baharu Myanmar) yang bermula Isnin ini.
Pemerhati demokrasi bagaimanapun menyifatkan peralihan itu hanyalah satu “penjenamaan semula” pemerintahan tentera dalam bentuk kerajaan awam bagi mengaburi mata dunia.
Kira-kira dua pertiga daripada 30 menteri kabinet yang mengangkat sumpah hari ini terdiri daripada anggota tentera yang masih berkhidmat atau sudah bersara,dengan lebih 10 daripadanya berada di bawah senarai sekatan antarabangsa.
Dalam pada itu,Min Aung Hlaing menyatakan komitmen kerajaannya untuk memulihkan hubungan dengan blok Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang sebelum ini meminggirkan kepimpinan junta sejak rampasan kuasa berlaku.
Upacara turut dihadiri wakil diplomatik dari negara jiran termasuk China,India dan Thailand,selain 20 negara lain.
Perdana Menteri Thailand,Anutin Charnvirakul,dalam mesej tahniahnya menyatakan keyakinan bahawa hubungan dua hala akan terus diperkukuh di bawah kepimpinan baharu itu.
Penganalisis berpendapat pilihan raya itu merupakan strategi junta untuk meraih pengiktirafan antarabangsa dan menghidupkan semula projek pelaburan asing yang terhenti,terutamanya projek infrastruktur yang disokong oleh Beijing.
Myanmar berada di bawah pemerintahan tentera hampir sepanjang sejarah pascakemerdekaannya,kecuali tempoh reformasi singkat selama sedekad bermula 2011 sebelum pihak tentera merampas semula kuasa pada 2021. – AFP