
Presiden Cuba,Miguel Diaz-Canel /REUTERS
HAVANA,10 April – Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel pada Khamis menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan di bawah tekanan Amerika Syarikat (AS) dan menyeru agar dialog terbuka diadakan antara kedua-dua negara.
RINGKASAN BERITA AI
−
Kenyataan itu menyusul ketika Washington memperhebat kempen tekanan terhadap Cuba,termasuk mengenakan sekatan minyak secara maya dengan mengancam tarif terhadap mana-mana negara yang cuba menjual bahan api ke pulau itu.
Cuba kini bergelut dengan krisis tenaga yang meruncing sejak Januari lalu selepas bekalan utama dari Venezuela terputus susulan penggulingan pemimpin Nicolas Maduro. Untuk rekod,Cuba telah berada di bawah embargo perdagangan AS selama lebih enam dekad.
Pentadbiran Donald Trump sebelum ini secara terbuka menimbulkan idea untuk “mengambil alih” Cuba iaitu menyamai retorik beliau terhadap Greenland,Kanada,dan Venezuela.
Trump turut melabel kepimpinan di Havana sebagai “ancaman” kepada keselamatan nasional AS.
Dalam pada itu,Setiausaha Negara AS Marco Rubio,yang kini menerajui rundingan dengan Havana,menafikan beliau menuntut peletakan jawatan Diaz-Canel meskipun sering mengkritik kepimpinan Cuba sebagai tidak cekap.
Diaz-Canel memberitahu NBC bahawa Havana bersedia untuk “terlibat dalam dialog dan membincangkan sebarang topik tanpa sebarang syarat,” dengan syarat AS tidak menuntut perubahan kepada sistem politik mereka.
Timbalan Menteri Luar Cuba Josefina Vidal memaklumkan bahawa rundingan dengan AS kini masih berada di “fasa yang sangat awal.” – AFP