
Foto BERNAMA
PUTRAJAYA,21 April – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan membantu mangsa kebakaran di Sandakan,Sabah mendapatkan kembali dokumen pengenalan diri mengikut prosedur sedia ada.
RINGKASAN BERITA AI
−
Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,dokumen pengenalan diri ganti akan diberikan kepada warganegara membabitkan insiden kebakaran dan sebagainya.

Lebih 1,000 rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air Kampung Bahagia/Foto BERNAMA
“Kalau insiden seperti itu (kebakaran) berlaku menyebabkan dokumen itu hilang,kami akan memudahkan proses mengadakan dokumen ganti tetapi itu bukan bermakna bahawa kita akan pukul borong saja. Kita akan tangani satu persatu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan keutamaan kerajaan persekutuan dan negeri ketika ini adalah aspek penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk semua mangsa berkenaan.
“Oleh kerana mangsa terlibat lebih 9,000,rumah atas air tu 1,000 lebih. Kerajaan Negeri Sabah dengan semua agensi negeri dan pusat sedang melakukan proses pendaftaran.
“Keutamaan kita adalah sediakan dulu PPS buat mereka dan dalam proses pendaftaran itu,kalau nantinya kita temui kes-kes umpamanya individu atau anggota yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,kita akan tangani perkara itu satu persatu,” katanya.
Pada Ahad lepas,kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia di Sandakan mengakibatkan kira-kira 1,000 rumah musnah,dan melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar. – BERNAMA